MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009
JALINAN UKHUWAH..penduduk Jalan Salak TKJ2 bergambar secara beramai-ramai.

Thursday, April 21, 2011

Aduan Rakyat Jalan Salak

Assalamualaikum & salam sejahtera,


Agak lama juga Admin tidak menjenguk blog Jalinan Ukhuwah ini. Mungkin kerana tidak banyak aktiviti yang dijalankan oleh komuniti Jalan Salak pada suku pertama 2011 melainkan satu program besar iaitu Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H. Selain itu cuma program rutin iaitu Majlis Yaasin mingguan dan diselang-selikan dengan kenduri selamat yang diadakan oleh penduduk.

Kali ini blog akan mengetengahkan isu berkenaan aduan penduduk kepada pihak authoritatif tentang masalah-masalah yang timbul di Jalan Salak selepas 3 - 4 tahun taman ini didiami. Perkara ini telah diajukan kepada pihak berwajib secara rasmi dan sedang menunggu maklumbalas serta tindakan yang proaktif. Sama-samalah kita nantikan..

Antara permasalahan yang di utarakan adalah seperti berikut:-

i) RUMAH PEKERJA BINAAN

Rumah yang dibina di atas rizab surau ini telah ditinggalkan hampir setahun ini tidak diselenggara dengan baik mengundang pelbagai masalah terutama masalah kesihatan. Hasil tinjauan wakil penduduk mendapati rumput tidak dipotong, kawasan pembuangan  sampah yang tidak terurus. Juga terdapat sebuah perigi terbiar yang membiak nyamuk dan dikhuatiri menjadi habitat haiwan berbisa seperti lipan dan ular. Ianya juga mencacatkan pemandangan persekitaran kawasan kediaman kami.
Ia juga dikhuatiri menjadi pusat aktiviti tidak bermoral seperti kegiatan penagihan dadah dan maksiat oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab. Justeru itu, penduduk berharap agar rumah pekerja tersebut dapat dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai.

ii) MEMOHON PEMBINAAN BONGGOL JALAN
Terdapat banyak kenderaan yang melalui Jalan Salak, Jalan Salak 3 dan Jalan Salak 4 memandu dengan laju terutama di sebelah petang dan malam. Aktiviti ‘mat rempit’ semakin menjadi-jadi sejak sekian lama terutamanya di sepanjang Jalan Salak dan Jalan Betik. Kawasan kami juga telah dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai tempat belajar memandu secara haram menyebabkan beberapa buah papan tanda jalan telah dilanggar.
Telah berlaku satu kemalangan di mana seorang anak penduduk telah dilanggar oleh sebuah kereta. Kanak-kanak tersebut patah kaki dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan. Kami berasa amat bimbang dengan keselamatan ahli keluarga kami terutama anak-anak yang bermain di hadapan rumah  oleh kerana ketiadaan taman permainan yang sesuai.
Kami telah beberapa kali mengisi borang aduan awam di pejabat MDKT dan sehingga kini masih tiada tindakan positif dari pihak tuan. Besarlah harapan kami agar pembinaan bonggol ini  dapat disegerakan.
iii) KOLAM TAMBATAN BANJIR DAN TADAHAN AIR HUJAN
Kolam tadahan hujan juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia menjadi habitat spesis haiwan berbahaya seperti ular, biawak, lipan dan lain-lain. Penduduk telah beberapa kali terserempak dengan haiwan tersebut dan terdapat kejadian di mana ia memasuki kediaman penduduk.


iv) SISTEM PERPARITAN YANG TIDAK DISELENGGARA DENGAN BAIK
Sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik dikhuatiri akan menyebabkan longkang tersumbat sehingga menyebabkan aliran air tersekat. Ini akan menyebabkan air bertakung dan seterusnya menyumbang kepada masalah pembiakan nyamuk aedes.
v) PEMOTONGAN LALANG DAN SEMAK SAMUN YANG TIDAK SISTEMETIK 
Lalang dan semak samun yang tidak dipotong mengikut jadual mencacatkan pemandangan terutamanya di sepanjang Jalan Salak dan Jalan Betik. Kawasan tersebut menjadi lokasi penduduk setempat untuk beriadah seperti berjoging, senamrobik dan berbasikal kerana jauh dari kesibukan lalu-lintas.
Penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menjalankan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan berkenaan. Namun terdapat kos yang terpaksa ditanggung sendiri seperti sewa alat mesin rumput, minyak petrol dan jentolak.

Demikianlah di antara permasalahan yang kian menjadi  kudis kepada penduduk Jalan Salak.  Sekiranya tiada tindakan drastik diambil bagi menanganinya dibimbangi akan menjadi duri dalam daging yang membelenggu kehidupan seharian penduduk.
Meskipun penduduk telah berusaha mengambil inisiatif sendiri menjaga kebersihan persekitaran melalui program-program dan aktiviti gerak tumpu yang dianjurkan namun pihak berwajib tidak seharusnya memandang sebelah mata di atas permasalahan yang di hadapi oleh penduduk setempat ini.