MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009
JALINAN UKHUWAH..penduduk Jalan Salak TKJ2 bergambar secara beramai-ramai.

Thursday, February 17, 2011

SATU MALAYSIA, SATU UMMAH

Salam Maulidur Rasul buat warga Rakan Salak,

Bersatunya ummah itu lahir dari akar muafakat lalu menunaskan pucuk perpaduan. Perpaduan membenihkan bibit kasih sayang dan saling memerlukan lantas membentuk satu jalinan ukhuwah dan seterusnya membentuk satu kesatuan ummah yang mantap dan padu. Semangat perpaduan inilah yang tertanam di lubuk hati setiap warga Jalan Salak TKJ2 untuk bersatu mengadakan sambutan Maulidur Rasul demi membesarkan seorang pemimpin agung ~ Nabi Muhammad s.a.w.


GOTONG-ROYONG menyediakan bahan masakan

PENTAS untuk ceramah agama di Jalan Salak 5

Program yang direncanakan sejak sebulan yang lalu akhirnya telah dapat dijayakan dengan penuh rasa keinsafan dan kesederhanaan tetapi padat dengan aturcara yang bersesuaian dengan hari yang penuh keberkatan ini.

TRADISI 'rewang' menjadi amalan penduduk

BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing

Aktiviti dimulakan pada pagi Selasa, 15/02/2011 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1432H dengan bergotong-royong menyediakan bahan-bahan masakan untuk jamuan makan di Jalan Salak 4. Kelengkapan khemah dan pentas penceramah undangan juga turut dipersiapkan di Jalan Salak 5 bagi tujuan ceramah agama pada sebelah malam.

Para penduduk telah bersepakat untuk menyediakan masakan Nasi Serai berlaukkan Ayam Masak Merah, Dalca Daging dan Acar Darat sebagai menu jamuan untuk sambutan kali ini. Konsep 'rewang' yang dipraktikkan telah membuka ruang kepada semua penduduk untuk saling mengenali sesama mereka secara lebih dekat dalam suasana yang harmoni dan ceria.


AHLI kendarat menyediakan juadah di dalam dulang

SUASANA ceria di sepanjang aktiviti berlangsung

PENDUDUK menikmati jamuan sebelum solat Isya' berjemaah

MAKAN 'berdulang' boleh mengeratkan ikatan kekeluargaan

Aturcara sebelah malam bermula dengan solat fardhu Maghrib berjemaah diselangi dengan majlis bacaan tahlil ringkas serta berselawat.
Jamuan makan diadakan secara makan 'berdulang' yang mana ia menjadi amalan sejak turun-temurun. Makan berdulang iaitu nasi dan lauk-pauk diletakkan di dalam satu dulang dan dimakan bersama-sama oleh tiga atau empat orang dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan di samping mendidik manusia untuk saling berkongsi dan menjauhi pembaziran.

AJK WANITA turut membantu sepanjang program dijalankan


MENDENGAR ceramah dengah penuh minat

Selepas solat Isya' berjemaah, majlis disemarakkan dengan selawat oleh para penduduk secara beramai-ramai  sambil berjalan menuju ke khemah untuk mengikuti acara kemuncak sambutan iaitu ceramah agama . Penceramah undangan pada kali ini ialah Ustaz Rosnan Bin Selamat yang juga seorang guru. Ceramah yang disampaikan berkisar tentang sifat dan peribadi nabi serta sejarah latarbelakang keluarga baginda semasa kecil. Penceramah juga menyelitkan serba sedikit kisah-kisah para sahabat dan ibu susuan baginda iaitu Halimatul Sa'adiah dari Bani Sa'id.

PENCERAMAH undangan - Ustaz Rosnan

Natijahnya, kisah-kisah hidup Rasulullah s.a.w penuh dengan seribu satu pengalaman yang indah dan segar untuk dihayati. Demi sesungguhnya jua Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad itu adalah untuk menyempurnakan akidah umat manusia.

Antara ucapan penceramah yang boleh dijadikan pedoman, " Fitrah itu merupakan benih-benih iman, tanpa fitrah, keimanan seseorang itu ibarat dahan yang rapuh. Fitrah itu juga ibarat cahaya keikhlasan yang menerangi hati setiap muslim demi mencari keredhaan Allah s.w.t."

PENGERUSI Persatuan Penduduk Jalan Salak (kanan) menyerahkan cenderahati kepada penceramah

Majlis yang ditamatkan pada jam 11.00 malam itu diakhiri dengan gotong-royong mengemas khemah serta peralatan jamuan. Meskipun setelah seharian penduduk mengadakan persiapan dan keletihan kian dirasai namun kepuasan jelas terbayang di wajah kerana berjaya menunaikan tanggung-jawab sebagai seorang muslim untuk membesarkan hari keputeraan nabi Muhammad Rasulullah s.a.w pada 12 Rabiul Awwal iaitu tarikh yang sama dengan kewafatan baginda di Madinah Al-Munawwarah.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pemimpin umat sekelian alam.

ANAK-ANAK turut serta memeriahkan sambutan


2 comments:

  1. ..tahniah dan syabas kepada warga salak kerana dapat menjayakan sambutan ini..segala sumbangan dan jasa Allah sahaja yang membalasnya..insyallah

    ReplyDelete
  2. ..ramai yang komen menu nasi serai yang dihidangkan tu sedap..patut le abis nasi seperiuk..alhamdulillah Rakan Salak dah ada ramai tukang masak berkaliber..

    ReplyDelete