MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2009
JALINAN UKHUWAH..penduduk Jalan Salak TKJ2 bergambar secara beramai-ramai.

Thursday, April 21, 2011

Aduan Rakyat Jalan Salak

Assalamualaikum & salam sejahtera,


Agak lama juga Admin tidak menjenguk blog Jalinan Ukhuwah ini. Mungkin kerana tidak banyak aktiviti yang dijalankan oleh komuniti Jalan Salak pada suku pertama 2011 melainkan satu program besar iaitu Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H. Selain itu cuma program rutin iaitu Majlis Yaasin mingguan dan diselang-selikan dengan kenduri selamat yang diadakan oleh penduduk.

Kali ini blog akan mengetengahkan isu berkenaan aduan penduduk kepada pihak authoritatif tentang masalah-masalah yang timbul di Jalan Salak selepas 3 - 4 tahun taman ini didiami. Perkara ini telah diajukan kepada pihak berwajib secara rasmi dan sedang menunggu maklumbalas serta tindakan yang proaktif. Sama-samalah kita nantikan..

Antara permasalahan yang di utarakan adalah seperti berikut:-

i) RUMAH PEKERJA BINAAN

Rumah yang dibina di atas rizab surau ini telah ditinggalkan hampir setahun ini tidak diselenggara dengan baik mengundang pelbagai masalah terutama masalah kesihatan. Hasil tinjauan wakil penduduk mendapati rumput tidak dipotong, kawasan pembuangan  sampah yang tidak terurus. Juga terdapat sebuah perigi terbiar yang membiak nyamuk dan dikhuatiri menjadi habitat haiwan berbisa seperti lipan dan ular. Ianya juga mencacatkan pemandangan persekitaran kawasan kediaman kami.
Ia juga dikhuatiri menjadi pusat aktiviti tidak bermoral seperti kegiatan penagihan dadah dan maksiat oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab. Justeru itu, penduduk berharap agar rumah pekerja tersebut dapat dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai.

ii) MEMOHON PEMBINAAN BONGGOL JALAN
Terdapat banyak kenderaan yang melalui Jalan Salak, Jalan Salak 3 dan Jalan Salak 4 memandu dengan laju terutama di sebelah petang dan malam. Aktiviti ‘mat rempit’ semakin menjadi-jadi sejak sekian lama terutamanya di sepanjang Jalan Salak dan Jalan Betik. Kawasan kami juga telah dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai tempat belajar memandu secara haram menyebabkan beberapa buah papan tanda jalan telah dilanggar.
Telah berlaku satu kemalangan di mana seorang anak penduduk telah dilanggar oleh sebuah kereta. Kanak-kanak tersebut patah kaki dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan. Kami berasa amat bimbang dengan keselamatan ahli keluarga kami terutama anak-anak yang bermain di hadapan rumah  oleh kerana ketiadaan taman permainan yang sesuai.
Kami telah beberapa kali mengisi borang aduan awam di pejabat MDKT dan sehingga kini masih tiada tindakan positif dari pihak tuan. Besarlah harapan kami agar pembinaan bonggol ini  dapat disegerakan.
iii) KOLAM TAMBATAN BANJIR DAN TADAHAN AIR HUJAN
Kolam tadahan hujan juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia menjadi habitat spesis haiwan berbahaya seperti ular, biawak, lipan dan lain-lain. Penduduk telah beberapa kali terserempak dengan haiwan tersebut dan terdapat kejadian di mana ia memasuki kediaman penduduk.


iv) SISTEM PERPARITAN YANG TIDAK DISELENGGARA DENGAN BAIK
Sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik dikhuatiri akan menyebabkan longkang tersumbat sehingga menyebabkan aliran air tersekat. Ini akan menyebabkan air bertakung dan seterusnya menyumbang kepada masalah pembiakan nyamuk aedes.
v) PEMOTONGAN LALANG DAN SEMAK SAMUN YANG TIDAK SISTEMETIK 
Lalang dan semak samun yang tidak dipotong mengikut jadual mencacatkan pemandangan terutamanya di sepanjang Jalan Salak dan Jalan Betik. Kawasan tersebut menjadi lokasi penduduk setempat untuk beriadah seperti berjoging, senamrobik dan berbasikal kerana jauh dari kesibukan lalu-lintas.
Penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menjalankan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan berkenaan. Namun terdapat kos yang terpaksa ditanggung sendiri seperti sewa alat mesin rumput, minyak petrol dan jentolak.

Demikianlah di antara permasalahan yang kian menjadi  kudis kepada penduduk Jalan Salak.  Sekiranya tiada tindakan drastik diambil bagi menanganinya dibimbangi akan menjadi duri dalam daging yang membelenggu kehidupan seharian penduduk.
Meskipun penduduk telah berusaha mengambil inisiatif sendiri menjaga kebersihan persekitaran melalui program-program dan aktiviti gerak tumpu yang dianjurkan namun pihak berwajib tidak seharusnya memandang sebelah mata di atas permasalahan yang di hadapi oleh penduduk setempat ini.

Sunday, February 20, 2011

Le Tour d' Batu 4

              
JALINAN UKHUWAH CYCLER
Program : Aktiviti berbasikal
Tarikh : 20hb Februari 2011
Hari : Ahad
Route : TKJ2-Batu 4-Lukut Cina-Bandar-TKJ2
Ahli  : 9 orang
Mula :  Jam  7.30 pagi
Tamat: Jam 10.15 pagi
SARAPAN PAGI @ BATU 4

ROUTE Kg. Bukit Lintang

ROUTE Kg. Lukut
LEPAK sekejap kat Check Point 2 - Batu 3
  

 


MARSHALL a.k.a towkey limau



GAYA seorang pengayuh basikal sejati




BERGAMBAR bersama anak-anak sejurus sampai ke TKJ2


Thursday, February 17, 2011

SATU MALAYSIA, SATU UMMAH

Salam Maulidur Rasul buat warga Rakan Salak,

Bersatunya ummah itu lahir dari akar muafakat lalu menunaskan pucuk perpaduan. Perpaduan membenihkan bibit kasih sayang dan saling memerlukan lantas membentuk satu jalinan ukhuwah dan seterusnya membentuk satu kesatuan ummah yang mantap dan padu. Semangat perpaduan inilah yang tertanam di lubuk hati setiap warga Jalan Salak TKJ2 untuk bersatu mengadakan sambutan Maulidur Rasul demi membesarkan seorang pemimpin agung ~ Nabi Muhammad s.a.w.


GOTONG-ROYONG menyediakan bahan masakan

PENTAS untuk ceramah agama di Jalan Salak 5

Program yang direncanakan sejak sebulan yang lalu akhirnya telah dapat dijayakan dengan penuh rasa keinsafan dan kesederhanaan tetapi padat dengan aturcara yang bersesuaian dengan hari yang penuh keberkatan ini.

TRADISI 'rewang' menjadi amalan penduduk

BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing

Aktiviti dimulakan pada pagi Selasa, 15/02/2011 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1432H dengan bergotong-royong menyediakan bahan-bahan masakan untuk jamuan makan di Jalan Salak 4. Kelengkapan khemah dan pentas penceramah undangan juga turut dipersiapkan di Jalan Salak 5 bagi tujuan ceramah agama pada sebelah malam.

Para penduduk telah bersepakat untuk menyediakan masakan Nasi Serai berlaukkan Ayam Masak Merah, Dalca Daging dan Acar Darat sebagai menu jamuan untuk sambutan kali ini. Konsep 'rewang' yang dipraktikkan telah membuka ruang kepada semua penduduk untuk saling mengenali sesama mereka secara lebih dekat dalam suasana yang harmoni dan ceria.


AHLI kendarat menyediakan juadah di dalam dulang

SUASANA ceria di sepanjang aktiviti berlangsung

PENDUDUK menikmati jamuan sebelum solat Isya' berjemaah

MAKAN 'berdulang' boleh mengeratkan ikatan kekeluargaan

Aturcara sebelah malam bermula dengan solat fardhu Maghrib berjemaah diselangi dengan majlis bacaan tahlil ringkas serta berselawat.
Jamuan makan diadakan secara makan 'berdulang' yang mana ia menjadi amalan sejak turun-temurun. Makan berdulang iaitu nasi dan lauk-pauk diletakkan di dalam satu dulang dan dimakan bersama-sama oleh tiga atau empat orang dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan di samping mendidik manusia untuk saling berkongsi dan menjauhi pembaziran.

AJK WANITA turut membantu sepanjang program dijalankan


MENDENGAR ceramah dengah penuh minat

Selepas solat Isya' berjemaah, majlis disemarakkan dengan selawat oleh para penduduk secara beramai-ramai  sambil berjalan menuju ke khemah untuk mengikuti acara kemuncak sambutan iaitu ceramah agama . Penceramah undangan pada kali ini ialah Ustaz Rosnan Bin Selamat yang juga seorang guru. Ceramah yang disampaikan berkisar tentang sifat dan peribadi nabi serta sejarah latarbelakang keluarga baginda semasa kecil. Penceramah juga menyelitkan serba sedikit kisah-kisah para sahabat dan ibu susuan baginda iaitu Halimatul Sa'adiah dari Bani Sa'id.

PENCERAMAH undangan - Ustaz Rosnan

Natijahnya, kisah-kisah hidup Rasulullah s.a.w penuh dengan seribu satu pengalaman yang indah dan segar untuk dihayati. Demi sesungguhnya jua Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad itu adalah untuk menyempurnakan akidah umat manusia.

Antara ucapan penceramah yang boleh dijadikan pedoman, " Fitrah itu merupakan benih-benih iman, tanpa fitrah, keimanan seseorang itu ibarat dahan yang rapuh. Fitrah itu juga ibarat cahaya keikhlasan yang menerangi hati setiap muslim demi mencari keredhaan Allah s.w.t."

PENGERUSI Persatuan Penduduk Jalan Salak (kanan) menyerahkan cenderahati kepada penceramah

Majlis yang ditamatkan pada jam 11.00 malam itu diakhiri dengan gotong-royong mengemas khemah serta peralatan jamuan. Meskipun setelah seharian penduduk mengadakan persiapan dan keletihan kian dirasai namun kepuasan jelas terbayang di wajah kerana berjaya menunaikan tanggung-jawab sebagai seorang muslim untuk membesarkan hari keputeraan nabi Muhammad Rasulullah s.a.w pada 12 Rabiul Awwal iaitu tarikh yang sama dengan kewafatan baginda di Madinah Al-Munawwarah.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pemimpin umat sekelian alam.

ANAK-ANAK turut serta memeriahkan sambutan


Wednesday, February 16, 2011

JOM BERBASIKAL..!!

Salam ukhuwah..!

BERBALOI..aktiviti berbasikal dapat menyihatkan badan sambil bersiar-siar.

Aktiviti riadah di Jalan Salak bertambah meriah dengan lahirnya satu lagi hobi baru di kalangan penduduk iaitu berbasikal. Aktiviti yang pada mulanya dilakukan bagi memenuhi masa lapang pada waktu petang dan hari minggu oleh beberapa orang penduduk kini mula menarik minat ramai sebagai alternatif untuk beriadah.

Sehingga hari ini, kumpulan berbasikal Jalan Salak atau dikenali sebagai 'Jalinan Ukhuwah Cycler' telah mempunyai ahli seramai sepuluh orang. Terdapat beberapa lagi penduduk sedang berkira-kira untuk memiliki basikal bagi menyertai program yang boleh membantu menyihatkan badan ini.

MULA..ahli berkumpul sebelum melakukan kayuhan
Aktiviti ini seringkali diadakan pada sebelah petang dengan menjadikan jalan-jalan sekitar Taman Kota Jaya, Kg. Kelantan dan Kg. Panti sebagai 'route' berbasikal kerana bentuk jalan yang landai dan berbukit.


CERIA..Ahli berehat melepaskan penat di jeti Kg. Makam

Pada hari minggu yang lepas, 'Jalinan Ukhuwah Cycler' telah mengadakan aktiviti berbasikal ke sekitar bandar Kota Tinggi. Aktiviti yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu disertai oleh enam orang ahli diketuai oleh En. Zainuddin @ Pak Din yang dianggap 'otai' dalam aktiviti ini. Perjalanan melalui Kg. Kelantan menuju bandar Kota Tinggi dan seterusnya ke Kg. Makam.

SEDIA..tayar perlu dipam untuk keselesaan sepanjang kayuhan
Jeti Kg. Makam menjadi lokasi untuk berehat dan melepaskan penat mengayuh sambil menikmati pemandangan Sg. Johor pada waktu pagi. Terdapat ramai pemancing sedang leka memancing ikan dan udang galah dengan joran masing-masing di tepian jeti mahupun di atas sampan.

PUASHATI..walaupun letih tapi menyeronokkan

Ahli 'Jalinan Ukhuwah  Cycler' juga tidak melepaskan peluang bersarapan di sebuah warung yang terkenal di Kg. Makam yang menyajikan beranika jenis 'lempeng' iaitu makan tradisional orang Melayu antaranya lempeng telur, lempeng pisang, lempeng kelapa dan sebagainya.

MAKANAN TRADISI..Pak Din sedang menikmati lempeng panas dicicah dengan kuah asam pedas

Aktiviti berbasikal  kemudian diteruskan dengan melakukan kayuhan melalui Taman Aman, Taman Kota Kecil, Taman Hijrah sebelum berakhir  di Taman Kota Jaya2 pada pukul 9.30 pagi. Sebelum bersurai, ahli menyuarakan rasa puas kerana dapat beriadah bersama-sama dan merancang untuk melakukan aktiviti berbasikal ini pada minggu hadapan sekiranya ada kelapangan.

Cadangan program akan datang: 20hb Februari 2011 (Ahad) ~ Berkayuh ke Hutan Lipur Panti.

Warga Rakan Salak..Jom Berbasikal..!!

Gambar: Ehsan dari Ustaz Liman Bin Hashim






Monday, February 7, 2011

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat..


Resam hidup warga Rakan Salak tidak sunyi dari pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan. Semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu menjadi teras kesejahteraan masyarakat di kejiranan ini yang terdiri dari berbilang bangsa.

Umumnya kebanyakan penduduk di sini berasal dari keluarga yang masih mengamalkan budaya gotong-royong samada di rancangan FELDA atau kampung. Justeru, tidak hairanlah jika semangat iu masih menebal di kalangan mereka dan seterusnya menjadi amalan turun-temurun sehingga ke hari ini.


Program gotong-royong menanam pokok pisang di kawasan lapang di Jalan Salak 4

Pelbagai program kemasyarakatan telah direncanakan oleh Ahli Jawatankuasa Penduduk dan antaranya di bawah seliaan Biro Keceriaan. Aktiviti 'gerak-tumpu' atau gotong-royong seringkali diadakan demi menjadikan kawasan perumahan Jalan Salak sebagai kawasan kediaman yang selamat. Program itu termasuklah membersihkan semak-samun, meracun dan memotong rumput, membuang sampah-sarap pukal dan membersihkan longkang yang tersumbat.

Penglibatan semua penduduk terutamanya anak-anak dapat menanamkan semangat bergotong-royong di  dalam jiwa mereka di samping mendidik menjadi warga yang bertanggung-jawab terhadap kebersihan persekitaran bak kata pepatah ' berat sama dipikul, ringan sama dijinjing..'.

Warga Rakan Salak berkerjasama melukis dan mengecat  kain rentang sempena Sambutan Maulidur Rasul

Semangat bergotong-royong ini tidak terhenti setakat menjaga kebersihan alam sekitar semata-mata. Sikap ringan tulang ini berterusan meliputi program-program lain seperti Sambutan Maulidur Rasul, memasak bubur assyura pada bulan Muharram, ibadah korban, sambutan Hari Raya dan kenduri-kendara di bawah anjuran Ahli Jawatankuasa Penduduk, Biro Agama mahupun penduduk setempat.

Biro Kebajikan juga tidak lepas tangan menganjurkan program kemasyarakatan di dalam membantu warga Rakan Salak yang dihimpit kesusahan seperti menganjurkan tabung-tabung sumbangan untuk meringankan beban kewangan penduduk terbabit.

Adalah diharapkan agar nilai moral yang mulia ini menjadi amalan hidup warga Rakan Salak demi mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Tahniah dan syabas warga Rakan Salak..!

Friday, February 4, 2011

(Gong Xi Fa Cai) - Happy Chinese New Year

AJK dan penduduk Jalan Salak TKJ2 mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada penduduk berbangsa Cina di kawasan perumahan Jalan Salak.

Sambutan perayaan yang jatuh pada tarikh 2 dan 3 haribulan Februari 2011 itu disambut oleh masyarakat Cina dengan semangat Tahun Arnab Emas mengikut Kalendar Cina. Bencana banjir yang melanda bandar Kota Tinggi dua hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina berkemungkinan menyebabkan sambutan kali ini disambut secara sederhana. Walaubagaimanapun, upacara 'makan besar' yang menjadi tradisi turun-temurun tetap diadakan pada petang 1hb Februari oleh setiap keluarga. Ibu-bapa dan anak-anak berkumpul untuk makan bersama-sama sambil beramah-mesra dalam suasana yang harmoni. Suasana dimeriahkan lagi dengan dentuman mercun dan percikan bunga api pada sebelah malam sebagai acara kemuncak sambutan perayaan tersebut.

AJK Jalan Salak turut mengambil peluang menyumbangkan saguhati berbentuk 'hamper' kepada beberapa keluarga sebagai menghargai sumbangan mereka kepada Persatuan Penduduk Jalan Salak.  Diharapkan agar semangat Tahun Arnab ini akan menambahkan lagi semangat perpaduan serta kerjasama di kalangan kaum Cina dengan bangsa lain yang mendiami kejiranan Jalan Salak.

Tuesday, February 1, 2011

Tema Maulidur Rasul 1432H

Tema bagi Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010/1432H ialah "1 MALAYSIA, 1 UMMAH". Konsep dan keterangan tema ini boleh diterjemahkan secara terperinci dengan melayari laman web JAKIM sebagaimana tertera di dalam kolum Senarai Pautan di bawah. 

Anda juga boleh mengetahui waktu-waktu solat di tempat anda melalui pautan yang sama.
Harap maklum.

Monday, January 31, 2011

Banjir di Kota Tinggi - 310111

Hujan yang turun tanpa henti bermula pada petang Jumaat 28/01/2011 telah mengundang bencana di Kota Tinggi. Pagi Isnin 31/01/2011 - jam 9.30 pagi suasana masih seperti sediakala, cuma hujan masih mencurah diiringi kedinginan bayu pagi sehingga menjadikan suhu jatuh ke paras 26 darjah celcius.


Menara Jam ~ Dataran Kota

Lampu Isyarat di depan Plaza Kota





Kelihatan air mula bergenang di hadapan bangunan peniagaan
& institusi perbankan
 Namun siapa sangka, jalan raya yang boleh dilalui oleh pelbagai kenderaan dan manusia lalu-lalang di persekitaran bangunan pejabat perniagaan berhampiran Menara Jam-Dataran Kota Tinggi tiba-tiba digenangi air bermula jam 10.30 pagi. Air semakin naik melepasi paras peha menjadikan suasana tenang bertukar kelam-kabut. Kota Tinggi banjir lagi...
Jalan raya hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat


Friday, January 28, 2011

KAWALAN MALAM - RELA

Rutin Kawalan Malam / RELA masih berjalan seperti biasa sepanjang Januari 2011. Walaupun kebelakangan ini cuaca hujan di awal pagi membantutkan sedikit tugas-tugas kawalan di sekitar taman perumahan namun rondaan tetap dijalankan. Para petugas diminta menjaga kesihatan dengan memakai jaket atau baju tebal semasa bertugas.
Syabas dan tahniah kepada semua penduduk kerana tiada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini sepanjang tahun 2010. Biro Keselamatan mengharapkan agar penduduk yang terlibat untuk bertugas pada hari-hari yang ditetapkan sentiasa membuat rondaan. Kerjasama menjaga keselamatan adalah tanggung-jawab bersama demi kesejahteraan komuniti Jalan Salak TKJ2.

Thursday, January 27, 2011

PROGRAM YAASIN & TAZKIRAH JALAN SALAK


Ini merupakan salah satu aktiviti rutin mingguan yang dijalankan oleh warga Rakan Salak. Program ini kebiasaannya diadakan pada hari Khamis malam Jumaat ataupun pada hari cuti hujung minggu mengikut permintaan tuan rumah yang ingin mengadakan bacaan yaasin dan tahlil di kediaman mereka.


Program bacaan Yaasin dan tahlil yang diadakan di sebuah rumah penduduk Jalan Salak. 

Adakalanya Ustaz atau Imam akan mengambil sedikit masa untuk sesi tazkirah / majlis ta'alim sejurus selepas selesai bacaan tahlil.  Pada sesi ini, para hadirin juga berkesempatan untuk bertanya tentang pelbagai perkara berkaitan agama sekiranya ada kemusykilan.

Kepada yang berminat untuk mengambil giliran majlis bacaan yaasin / tazkirah diminta memaklumkan kepada Biro Siaraya ~ En. Mohd Nizam sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis diadakan. Ini boleh memberi ruang kepada beliau untuk membuat hebahan melalui 'sistem khidmat pesanan ringkas (sms)' kepada semua penduduk di samping menyediakan notis untuk ditampal di papan kenyataan.

Sila nyatakan tarikh, no. rumah dan program yang dipilih dengan jelas. Kerjasama penduduk sangat dihargai.

Sekian , Harap maklum.

Yuran Tabung Persatuan Penduduk Jalan Salak Tahun 2011

Jawatankuasa Penduduk mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan semua ahli terhadap yuran tabung PPJS-TKJ2 sepanjang tahun 2010. Seterusnya AJK berharap agar semua penduduk dapat menjelaskan yuran bagi tahun 2011 bermula pada bulan Januari 2011 bagi menampung perbelanjaan aktiviti & program yang telah direncanakan sepanjang tahun ini. Harap maklum..

Wednesday, January 26, 2011

SUMBANGAN SEMPENA MAJLIS MAULIDURRASUL JALAN SALAK

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1432H:

PENDUDUK JALAN SALAK YANG INGIN MENGHULURKAN SUMBANGAN SEMPENA MAJLIS MAULIDURRASUL BOLEH BERBUAT DEMIKIAN DENGAN MENGHUBUNGI ~ EN. HALIM ( BENDAHARI ).

SEGALA SUMBANGAN HENDAKLAH DISERAHKAN SELEWAT-LEWATNYA @ PADA TARIKH : 13hb FEBRUARI 2011

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

MAKLUMAN SEMASA:

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1432H BAGI PENDUDUK JALAN SALAK AKAN DIADAKAN PADA HARI SELASA~15 FEBRUARI 2011. SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR.

TENTATIF PROGRAM AKAN DI TAMPAL DI PAPAN KENYATAAN. SILA AMBIL PERHATIAN..